Ini masalahnya: anda tahu apa yang mahu dicapai, tetapi anda tak tahu mengapa anda perlu mencapainya. Semua orang suka disenangi dan diterima tetapi apabila anda terpaksa bersusah payah supaya orang lain berpuas hati dengan anda, fikirkan kembali resolusi anda. Matlamat untuk memuaskan hati orang lain akan memenatkan dan menambah stres dalam hidup anda. Tangani isu ini dahulu sebelum anda menetapkan resolusi diri kerana ini akan melibatkan hidup dan kebahagiaan diri anda sendiri, dan bukannya orang lain.
1. Tetapkan identiti diri
Jika personaliti dan sikap anda berubah secara ketara mengikut suasana sosial dengan kawan-kawan, keluarga, dan rakan sekerja, maka ini adalah tanda anda menipu diri. Namun, ini tidak bermaksud anda harus memberi layanan yang sama kepada setiap orang kerana ada hal-hal tertentu hanya dikongsi bersama orang yang akrab. Ringkasnya, jangan jadi hipokrit. Anda tidak perlu bermuka-muka tentang perihal diri yang menjadi teras identiti anda.
2. Jangan buang masa & tenaga
Hidup terlalu singkat untuk berpura-pura dan membuat perkara yang anda tidak suka. Ambil perhatian tentang pengurusan masa anda setiap hari supaya anda ada masa untuk melakukan perkara yang anda suka seperti hobi, aktiviti kemajuan diri, riadah, dan kegiatan yang menceriakan anda.
3. Yakin diri
Menukar personaliti anda untuk memainkan watak yang orang lain fikir sesuai untuk anda adalah perkara yang tidak sihat untuk harga diri dan keyakinan anda. Terimalah kenyataan bahawa akan sentiasa ada orang yang tidak puas hati dengan anda walau apa pun yang anda lakukan. Jadi, lebih baik anda beraku adil pada diri dan berasa selesa dengan diri anda.
4. Dampingi orang yang prihatin
Orang yang baik untuk anda adalah orang yang tetap bersama anda dalam semua keadaan. Kuantiti hubungan tiada maknanya, jadi tumpukan perhatian kepada kualiti hubungan yang akan membahagia dan memuaskan anda.
Lebih dekat sebuah resolusi itu dalam menggambarkan diri sebenar anda, maka lebih kuat resolusi itu terpahat dalam imaginasi anda, lebih bersemangat anda mahu berusaha, dan lebih tinggi kebarangkalian anda mencapainya.