Gula bukan sahaja menjejaskan bentuk badan, malah kajian menunjukkan gula dapat meningkatkan risiko diabetes jenis 2, dan mendorong penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular dan barah. Ketagihan gula masalah serius kerana anda mungkin menghadapi gejala penarikan dan menyebabkan anda sukar membuat perubahan pemakanan yang perlu untuk mencapai tahap kesihatan lebih baik.
Tanda 1: Anda menyembunyikan tabiat menagih gula
“Mencari alasan atau membuat perjanjian dengan diri sendiri supaya dapat makan gula-gula dan manisan ialah tanda jelas ketagihan gula,” kata Ken Berry, MD, penulis buku Lies My Doctor Told Me. “Tiada siapa yang menyorokkan brokoli di dalam laci mereka; tetapi jika anda menyorokkan gula-gula, atau menyeludup untuk memakannya, anda mungkin ketagihan gula.”
Tanda 2: Anda perlu lebih banyak untuk kepuasan Toleransi anda terhadap manisan boleh meningkat saban hari. Pada mulanya anda mungkin puas dengan dua kiub gula di dalam kopi anda, contohnya, tetapi lama-kelamaan apabila ketagihan bertambah, anda perlu lebih banyak kiub gula untuk berasa puas.
Tanda 3: Anda cari sesuatu yang manis walaupun tidak lapar
“Petanda utama anda ketagihan ialah anda mencari sesuatu yang manis walaupun perut anda tidak lapar,” kata Lisa Rachel Snyder, jurulatih pemakanan intuitif dan pengasas Beautiful Badass Method.
Tanda 4: Anda selalu nak gula-gula
“Selepas mengambil banyak manisan, gula darah akan berkurang kerana insulin menolak gula tersebut masuk ke dalam sel-sel badan untuk menghalang kerosakan akibat gula,” jelas Carolyn Dean, MD. “Pengurangan tersebut menyebabkan paras gula darah rendah dan mendorong ketagihan.”
Tanda 5: Anda cuba berhenti dan mengalami simptom pelik-pelik
Berhenti mengambil gula secara mendadak boleh menyebabkan badan mengalami simptom penarikan seperti sakit kepala, lesu atau letih, ketagihan, sakit otot, mual, kembung perut, malah susah tidur.
Tanda 6: Anda bergantung kepada gula sebagai pelega
Simptom psikologikal ketagihan gula ialah apabila seseorang itu terus-menerus bergantung kepada gula sebagai jalan untuk mengatasi stres, kebosanan, atau masalah psikologi lain seperti kemurungan atau keresahan.
Tanda 7: Anda rasa bersalah suka makan gula
Petanda tidak baik ialah apabila anda ambil yang manis-manis dan makanan ringan tanpa kawalan walaupun anda sedar kesan negatifnya, kemudian anda rasa bersalah. Anda mungkin ada gangguan makan dan harus berbincang dengan doktor atau ahli terapi untuk mengatasinya.
Solusi Anda - Manis Yang Lebih Sihat!